YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak,
Timbalan Perdana Menteri,
Aras 4, Blok Barat, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya
Yang Amat Berhormat Dato' Sri,
Ahli Parlimen Harus Bersikap Serius Dalam Masalah Rakyat Dan Bukan Main-main Menjadi Badut Sarkas Dengan Mengeluarkan Bahasa Kesat Yang Menghina Maruah Wanita Dan Martabat Parlimen Sebagai Institusi Paling Unggul Dalam Negara
Ahli-ahli Parlimen harus bersikap serius dalam masalh rakyat dan bukan main-main menjadi badut sarkas dengan mengeluarkan bahasa kesat yang menghina maruah wanita dan martabat Parlimen sebagai institusi paling unggul dalam negara.
Kami telah menghantarkan memorandum bantahan kepada YAB semalam tentang tingkah laku tidak bertanggungjawab dan biadab dua Ahli Parlimen BN yang menyakitkan hati dan menghina semua kaum wanita dan rakyat Malaysia serta menjatuhkan imej Parlimen. Ucapan prejudis dilemparkan pada 9 Mei 2007 di Parliamen oleh YB Datuk Bung Mokhtar Radin (BN – Kinabatangan) dan YB Datuk Mohd Said Yusof (BN – Jasin), ke atas YB Fong Poh Kuan (DAP – Batu Gajah) semasa perbahasan hangat tentang kebocoran dinding bangunan Parlimen.
"Mana ada bocor? Batu Gajah pun bocor tiap-tiap bulan juga "
Kenyataan seperti ini amat memalukan dan menghina semua wanita dan bukan sesuatu yang boleh diketepikan begitu sahaja. Kami agak kecewa YAB menganggap perkara ini sesuatu perkara kecil yang harus dilihat ringan secara berseloroh. Kami tidak dapat bersetuju pandangan ini kerana ia harus dilihat dengan serius kerana semua wakil rakyat diperwajibkan membahaskan masalah negara dan bukanlah berlagak berseloroh dan menggunakan kaum wanita sebagai objek seks atau penghinaan.
Kenyataan tidak bertanggungjawab ini telah menerima kecaman umum baik di dalam mahupun di luar negara. Sungguhpun kedua ahli Parlimen BN berlagak macam mereka tidak ada ibu, anak perempuan, isteri atau kakak dan adik perempuan, kami percaya ini berlainan untuk YAB Dato' Seri. Sekiranya YAB Dato' Seri lihat penghinaan ini bukan dari sudut politik tetapi seorang suami, anak dan bapa patutlah tindakan keras diambil ke atas kedua-dua wakil rakyat ini.
Demi membuktikan pandangan menghina jantina wanita ini tidak didokong oleh BN, YAB Dato' Seri harus memecat mereka dari BN. Keengganan YAB Dato Seri enggan meminta mereka menarik balik atau meminta maaf tidak boleh diterima.
Sekurang-kurangnya tindakan keras seperti menggantung gaji harus diambil demi memulihkan martabat Parlimen sebagai forum tinggi membincangkan dan menyelesaikan masalah negara dan rakyat bukannya tempat berjenaka dan berlagak seperti badut sarkas yang hanya menghiburkan mereka yang cauvinis dan berdiskriminasi ke atas kaum wanita. Sekian.
Yang benar
-tandatangan-
LIM GUAN ENG
SETIAUSAHA-AGUNG
No comments:
Post a Comment