Taken from Tony Pua's blog
Free Teresa, Abolish ISA! Sign the petition here!
The following is a statement by Jamaah Islah Malaysia (JIM) which is one of the country's leading Islamic movement.
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia atau JIM, mengasaskan kewujudannya dengan menghayati pengertian al-islah yang membawa maksud pembaikan, pembaharuan serta mewujudkan perdamaian.They have just released a statement which not only condemned the use of the Internal Security Act as unislamic, but also reaffirmed the position that Teresa Kok was never involved in the so-called "azan" issues in Kota Damansara and Kinrara mosques.
KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia
14 September 2008
JIM KECAM PENAHANAN AHLI POLITIK, WARTAWAN DAN PENULIS BLOG DI BAWAH AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA)
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) mengecam undang-undang tanpa bicara seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan penggunaannya ke atas Ahli Parlimen Seputeh yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok, wartawan akhbar Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng dan pengendali laman blog Raja Petra Kamaruddin.
JIM ingin menegaskan bahawa prinsip keadilan amatlah penting dalam perundangan. ISA menyalahi prinsip keadilan kerana mereka yang ditahan dinafikan hak untuk “tidak bersalah sehingga disabitkan kesalahannya”, dinafikan hak bela diri, dinafikan khidmat guaman dan boleh ditahan selama-lamanya tanpa dihadapkan ke mahkamah.
Walaupun wartawan Tan Hoon Cheng kemudiannya telah dibebaskan selepas 16 jam ditahan, namun JIM mempersoalkan penahanan tersebut atas kononnya untuk melindungi beliau daripada ancaman ke atas keselamatan beliau. Ini menurut Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar dalam sidang akhbar di Ibupejabat Polis Bukit Aman pada 13 September 2008. Bukankah suatu yang amat pelik apabila seseorang ditahan di bawah ISA untuk menyelamatkan beliau daripada ancaman keselamatan sedangkan lazimnya seseorang ditahan kerana beliau dituduh memudaratkan keselamatan negara?
Apakah dengan ini wartawan tersebut perlu berterima kasih kepada Kerajaan atau sepatutnya menyaman Kerajaan kerana merampas hak kebebasan beliau sebagai warganegara dengan alasan yang tidak munasabah langsung?
Perbuatan menuduh tanpa sebarang bukti adalah perbuatan yang haram dari sudut Syariah, kerana ianya sendiri merupakan sebab utama kepada keadaan huru-hara di kalangan masayarakat yang hilangnya kepercayaan antara satu sama lain.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Hujurat ayat 6, penyebaran perkhabaran dan maklumat yang tidak sahih lagi meragukan menyebabkan berlakunya pertimbangan yang tidak adil, lantaran mengundang kepada musibah fitnah yang melanda masyarakat.
Riwayat hadith Ibnu Majah dan Abu Dawud menyebutkan bahawa kadi yang menetapkan hukuman kepada seseorang bedasarkan sumber-sumber bukti yang tidak benar akan dicampakkan ke dalam api neraka sewajarnya cukup menjadi pengajaran bagi kerajaan untuk mengutamakan prinsip keadilan Islam yang rasional berbanding dengan sentimen-sentimen perkauman yang rapuh dalam menjaga kemaslahatan masyarakat.
JIM mengesyorkan mana-mana pihak yang terkesan dengan sebaran awam yang dianggap menghina Islam supaya tampil proaktif dalam memberikan penjelasan yang bernas terhadap isu-isu yang dibahaskan. Islam tertegak di atas nas dan dalil Al-Quran dan Sunnah yang jelas. Tuntutan untuk mengemukakan hujah-hujah Islam secara berhikmah dan beradab sudah termaktub di dalam riwayat hadith-hadith yang sahih.
JIM memandang penahanan wartawan Tan Hoon Cheng seolah-olah beliau bertanggungjawab ke atas kontroversi kenyataan perkauman Ahmad Ismail sebagai tidak wajar kerana Ahmad Ismail dan pengikut beliau sendiri yang sengaja memberikan provokasi perkauman tanpa sebarang kawalan emosi di hadapan wartawan-wartawan.
Penahanan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula merupakan satu ketidakadilan kerana dakwaan bekas Menteri Besar Selangor keatasnya telah dinafikan sekeras-kerasnya. Malah, masjid di Damansara yang dikatakan disuruh perlahankan bunyi azannya telah memberi penjelasan bahawa azan tidak berbunyi dengan kuat kerana alat pembesar suara azannya mengalami kesulitan teknikal, bukannya kerana ditentang penduduk bukan Islam.
Penduduk bukan Islam di kawasan perumahan sekitar sebuah masjid di Puchong pula dilaporkan hanya memohon supaya diperlahankan penggunaan pembesar suara untuk majlis kuliah bacaan ayat al-Quran, bukannya azan itu sendiri.
JIM berpendirian jelas bahawa apa juga alasan yang dinyatakan kerajaan atas episod penahanan terbaru ini samada sebagai “pencetus polemik ketakutan” atau “pencetus kegawatan”, ianya seharusnya boleh ditangani dengan pelbagai akta lain yang sedia ada.
Tindakan menggertak dan menangkap blogger, wartawan, para pengkritik dasar kerajaan khususnya dari kalangan parti pembangkang tanpa hujah yang konkrit hanya akan mengundang kemusykilan rakyat terhadap motif dan keikhlasan kerajaan dalam melaksanakan perubahan pasca Pilihan raya Umum ke-12 terutamanya dalam konteks lanskap politik negara kini. Tindakan ini hanyalah mengesahkan lagi bahwa ISA digunakan untuk tujuan politik parti pemerintah.
JIM amat kesal dengan tindakan parti politik pemerintah yang sanggup memainkan isu sensitif seperti perkauman dan agama demi untuk menutup pelbagai kelemahan kepimpinan sedia ada. Sebaliknya, adalah lebih baik pihak kerajaan berusaha menyelesaikan pelbagai kemelut yang terjadi di dalam negara sekarang ini tanpa menggadaikan suasana keamanan yang sedia ada. Hentikan politik perkauman, fitnah dan tuduh menuduh tanpa bukti lagi tanpa bicara dan kembalilah kepada Syariat Islam.
JIM menggesa Kerajaan untuk membebaskan Teresa Kok, Raja Petra dan tahanan-tahanan ISA yang lain dengan serta merta atau dakwa mereka di mahkamah. Nasib tahanan yang ditahan dalam tempoh yang lama sehingga 7 tahun juga perlu dibela.
Sebagai anggota aktif gabungan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), JIM menyeru rakyat yang prihatin untuk turut tampil membantah ISA dan penahanan berhubungnya melalui program-program yang dianjurkan oleh GMI. Dalam tuntutan keadilan dan kebenaran, tidak ada batasan agama, kaum atau budaya.
Syed Ibrahim Syed Noh
Timbalan Presiden
No comments:
Post a Comment